Thursday, April 30, 2009
Selamat Hari Pekerja!
Selamat Hari Pekerja semua!
Elok kita renungkan motif asal perjuangan Hari Pekerja yang bermula pada 1 Mei 1886,
'LAPAN jam kerja, lapan jam rekreasi dan lapan jam rehat'.
Terima kasih juga kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang mengumumkan 1 Mei sebagai hari pelepasan am bagi pekerja negara ini selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 20 Mei 1972.
Walaupun ramai yang bercuti pada hari ini tapi Bapak tetap bekerja pada Hari Pekerja tahun ini. Ye lah selaras dengan matlamat asalnya,
Lapan jam kerja (kalau tak da OT), Lapan jam rekreasi (bersantai bersama keluarga tercinta) dan lapan jam rehat (tido daa...)
Monday, April 20, 2009
Musnahnya Impian Treble
WEMBLEY – Manchester United gulung tikar.
Semalam, skuad kendalian Alex Ferguson itu ditunjuk jalan keluar oleh Everton pada perlawanan separuh akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Wembley.
Everton menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat seri tanpa jaringan sehingga ke masa tambahan.
Kemenangan itu memastikan tempat Everton ke perlawanan akhir untuk menentang Chelsea pada 30 Mei depan sekali gus menamatkan penantian mereka selama 14 tahun.
Chelsea mara selepas menewaskan Arsenal 2-1 pada satu lagi aksi separuh akhir kelmarin.
Bagi United, kekalahan itu memusnahkan hajat mereka untuk meraih lima gelaran musim ini.
Pada aksi semalam, penjaga gol Everton, Tim Howard muncul wira pasukannya selepas berjaya menafikan sepakan penalti daripada Dimitar Berbatov dan Rio Ferdinand.
Leighton Baines, Phil Neville, James Vaughan dan Phil Jagielka pula masing-masing cemerlang menewaskan penjaga gol United, Ben Foster. – Agensi
Friday, April 17, 2009
Lokasi paling hangat di Parlimen Bukit Gantang
Untuk pergi ke tempat berkenaan, selepas keluar dari Plaza Tol Changkat Jering, masuk kiri menuju ke pekan Changkat Jering.
Sampai di persimpangan lampu isyarat di pekan itu, masuk kiri lagi menuju ke pekan Simpang pula. Setibanya di persimpangan lampu isyarat di tengah-tengah Simpang, masuk kiri lagi menghala ke Matang.
Tiba di simpang yang berhadapan dengan Kota Ngah Ibrahim, belok ke kanan pula menuju ke Kuala Sepetang. Lebih kurang satu kilometer dari Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Bakau Matang, pandang sebelah kiri.
Di situ kita boleh nampak tersergam deretan kilang-kilang kayu arang. Itulah destinasi Bapak kali ini. Panaskan? tak percaya cuba bertapa sejam dua di dalam dapur arang yang berbentuk iglu ni..heheh
Kehadiran Bapak disambut salah seorang tauke kilang arang itu dan beberapa pekerjanya. Tanpa segan Bapak bertanya proses pembuatan kayu arang dari A hingga Z.
Bapak diberitahu, proses pertama, kayu bakau jenis minyak dan kurap ditebang dan dipotong kecil serta dibuang kulitnya sebelum dibawa keluar dari hutan ke kilang dengan menggunakan tongkang.
Kemudiannya, keratan kayu itu dimasukkan ke dalam dapur arang untuk dibakar. Ia akan menjalani tiga proses, pertama, api kecil untuk keringkan air kayu. Kedua, api besar iaitu kayu bakau tadi dibakar pada suhu 220 darjah Celsius hingga benar-benar masak.
Manakala proses terakhir ialah kedap dapur iaitu api dipadamkan dan kayu arang dibiarkan benar-benar sejuk. Semua proses itu memakan masa kira-kira sebulan.
Selepas itu kayu arang dikeluarkan dan dibungkus sebelum dijual untuk pasaran tempatan dan luar negara terutamanya Jepun dan Korea Selatan.
Kerja-kerja di kilang arang ni memang berat, bercampur antara keringat, bara api dan habuk. Bukan calang-calang orang boleh lakukannya, Bapak yang sekadar menjenguk sejam dua pun dah berpeluh-peluh.
Cuma yang Bapak bangga walaupun kerja ini agak leceh dan tak glamour, hampir 98 peratus pekerjanya masih anak tempatan tanpa mengira kaum, Melayu, Cina dan India.Kaum wanita pun ramai, kebanyakannya mewarisi pekerjaan ini daripada datuk dan bapak mereka.
Adalah sekerat dua Bangla dan Indon terselit terutamanya dalam kerja-kerja menebang pokok bakau. Bapak berharap golongan minoriti di industri pembuatan kayu arang ini tidak akan menjadi majoriti pula suatu hari nanti.
Orang kata kayu arang Kuala Sepetang adalah terbaik di Asia dan telah menjadi darah daging penduduk tempatan sejak 80 tahun lalu. Biarlah tradisi ini dikekalkan dan arang itu dihasilkan dari keringat anak watan sendiri...
Thursday, April 16, 2009
Allah telah menjemput dia
Sepanjang tiga minggu ini ada beberapa peristiwa yang memberi kesan untuk Bapak renungi. Salah satunya pemergian sepupu Bapak, Nora menemui Pencipta pada akhir bulan lalu.
Nora adalah anak bongsu Pak Uda yang merupakan pelajar semester akhir di Kolej Cosmopoint di Ipoh dan berusia 20 tahun.
Ketika kejadian arwah sedang bercuti di kampung di Teluk Intan. Beliau meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya dalam kejadian yang berlaku hanya kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
Dengar ceritanya, motosikal yang ditunggangi arwah di sebelah kiri jalan menghala ke bandar Teluk Intan dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang setelah pemandu lori itu gagal memotong lori lain di hadapannya.
Rempuhan itu kemudiannya menyebabkan arwah tercampak ke arah belakang lori dihadapannya. Salah satu daripada lori berkenaan bertindak memecut laju melarikan diri manakala pemandu lori yang lain membuat laporan di balai polis berhampiran.
Mujur ada penduduk yang bersimpati menghantar arwah ke Hospital Teluk Intan namun Allah lebih menyayanginya, arwah menghembuskan nafas terakhir lebih kurang 20 minit kemudian akibat kerosakan teruk paru-parunya.
Bapak menerima berita itu setelah dihubungi salah seorang bapa saudara sejurus selesai makan tengah hari di Kuala Sepetang. Setelah menyelesaikan semua kerja, Bapak mendapat pelepasan untuk menziarahi jenazah Nora oleh Bos.
Bapak dan Orang Rumah Bapak sampai ke rumah Pak Uda setengah jam lebih awal daripada Ayah dan Mama yang bergerak dari Petaling Jaya, Selangor.
Tiada apa yang boleh Bapak lakukan apabila melihat jenazah Nora terbujur di satu sudut di rumah itu selain menyedekahkan al-Fatihah dan Yassin.
Cucu Opah tak ramai cuma 12 orang sahaja dan kali terakhir keluarga ini kehilangan ialah apabila arwah Atuk meninggal dunia pada 1989. Masa itu cucu Opah dan arwah Atuk cuma lima orang sahaja dan Noralah cucu pertama yang lahir selepas pemergian arwah Atuk dan takdir Allah menentukan beliau yang pertama dijemput dulu...
Jenazah Nora selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Ranggam bersebelahan pusara Atuk yang sudah bersemadi di situ sejak 20 tahun lalu.
Noranita Abu Osman, pemergianmu kami redhai...