Translate

Sahabat Bapak

Friday, November 12, 2010

Satu huruf yang bikin haru-biru

Ilhan dilahirkan pada pagi Rabu dan dibenarkan keluar wad bersama ibunya pada petang Khamis.

Esoknya pada hari ketiga, Bapak mendaftarkan namanya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terletak tak sampai 2 kilometer dari rumah Bapak.

Berbeza semasa mendaftarkan nama abangnya, Khalish di Melaka, JPN Perak mensyaratkan buku pra Antenatal dan salinan beberapa helaian buku itu sebagai salah satu dokumen untuk mendaftarkan kelahiran anak.

Oleh sebab urusan jururawat Klinik Desa merawat dan memantau kesihatan Ilhan dan Orang Rumah Bapak agak lewat, Bapak cuma ke JPN Perak pada kira-kira 12 tengah hari. Agak terkocoh-kocoh memandangkan hari itu Jumaat.

Nasib urusan di JPN Perak agak licin dan ia selesai tak sampai 15 minit. Gembira Bapak tunjuk sijil kelahiran itu kepada Orang Rumah Bapak kemudiannya.

Tapi esoknya baru Bapak perasan ada kesilapan satu huruf pada alamat rumah kami. Perkataan Meru menjadi Maru.(nak tergelak pun ada sebab teringat animasi Hagemaru...)
Silap Bapak juga kerana tak teliti semasa memeriksa sijil kelahiran itu sebelum ia dicetak. (teliti sebenarnya tapi tang nama anak dan butiran peribadi ibu dan bapa sahaja...)

Walaupun secara teknikalnya, kesilapan tu terlalu kecil kerana ia tidak menjejaskan apa-apa apatah lagi urusan surat-menyurat tetapi ia tetap tak sempurna. Kalau tak diperbetulkan Bapak rasa bersalah kepada Ilhan...

Akhirnya selang empat hari kemudian selepas Bapak pulang setelah menghantar Orang Rumah Bapak, Ilhan dan Khalish berpantang di kampung, Bapak kembali di JPN Perak.
Kesilapan kecil pada sijil kelahiran dapat diperbetulkan setelah Bapak membuat cabutan dengan bayaran RM5.

Namun masalah tak selesai begitu sahaja, oleh kerana Mykid Ilhan sedang diproses, alamat yang silap itu akan tetap tertera pada Mykidnya yang dijangka siap akhir bulan ini.

Jalan penyelesaiannya, Bapak perlu membuat Mykid baru buat Ilhan sebaik sahaja menerima Mykid terbabit. Alamatnya bertemu lagilah Bapak dengan kakitangan JPN Perak...heheh...

Thursday, November 11, 2010

Perginya Shamrin Fotograf...

Penyanyi utama kumpulan Fotograf, Shamrin meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas rebah ketika bermain bola sepak.

Shamrin atau nama sebenarnya, Mohd. Shamrin Abd. Samad,45, ketika itu baru 15 minit beraksi untuk pasukan artis Malaysia dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan MAA Insurance di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada kira-kira 6.30 petang tadi.

Seingat Bapak dia bukanlah orang pertama yang meninggal dunia ketika sedang bermain bola sepak atau bersukan, antaranya :

a) Marc Vivian Foe, pemain Cameroon mati di atas padang ketika perlawanan Piala Konfenderasi pada tahun 2002.

b) Miklos Feher pemain yang berasal dari Hungary yang bermain untuk kelab Benfica (Portugal) mati ketika berusia 24 tahun pada 2006

c) Pemain kelab Seville dari Sepanyol, Antonio Puerta, 22, ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan Liga Sepanyol menentang kelab Getafe pada 2007.

d) Bintang bola sepak Singapura era '70-an, Dollah Kassim, 61, meninggal dunia bulan lalu setelah koma selama setahun selepas rebah akibat serangan jantung semasa beraksi dengan pasukan Veteran Singapura menentang Veteran Selangor di Stadium Jalan Besar pada 4 Oktober 2009.

Manakala bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, meninggal dunia ketika sedang bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 2008.

Biasanya ia disebabkan serangan jantung mengejut yang berlaku kepada aktiviti memerlukan pecutan kemudian berhenti secara mengejut.

Individu berusia 35 tahun ke atas lebih terdedah kepada risiko serangan jantung lebih tinggi namun ia juga bergantung kepada tahap kesihatan seseorang seperti paras kolestrol atau menghidap penyakit jantung koronari.

Apa pun takziah buat keluarga arwah Shamrin. al-Fatihah...

Wednesday, November 10, 2010

Hikmah tersalah wad

Ilhan dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh. Orang Rumah Bapak tak putus-putus memuji perkhidmatan mesra dan profesional yang didapati semasa melahirkan Ilhan di hospital itu.

Apatah lagi HRPB adalah Hospital Mesra Bapa dan Mesra Bayi. Maksudnya suami boleh menemani isteri semasa proses kelahiran dan bayi dipastikan hanya mendapat susu ibu.

Sejujurnya Bapak akui komen Orang Rumah Bapak itu walaupun markahnya tak mungkin 100 peratus. Malah dalam beberapa segi, perkhidmatan yang diperoleh di HRPB lebih baik daripada hospital pakar swasta semasa Khalish dilahirkan dulu...

Kalau adapun yang boleh mengurangkan skor servis semasa Ilhan dilahirkan ialah kejadian tersalah memberi wad kepada Orang Rumah Bapak semasa pasca kelahiran.

Wad yang menempatkan Orang Rumah Bapak dan Ilhan lebih rendah daripada wad yang ditempah Bapak..

Silap Bapak juga sebab pagi 27 Oktober selepas Ilhan dilahirkan memang Bapak turut serta menghantar Orang Rumah Bapak dan Ilhan memasuki wad.

Tetapi memang Bapak agak mamai pada masa tu (sebab tak tidur hampir sepanjang malam), Bapak tak sedar Orang Rumah Bapak dihantar ke wad yang salah (walaupun pelik juga apasal wad tu ramai orang sangat...)

Kesilapan itu hanya Bapak sedari pada tengah hari apabila diadu oleh Orang Rumah Bapak. Bapak segera merujuk kepada jururawat bertugas namun pertukaran wad hanya dapat diuruskan pada lewat petang.

Oleh kerana dijangka keluar wad pada keesokan harinya dan sudah hampir sehari suntuk berada di wad terbabit, Orang Rumah Bapak bersetuju untuk kekal dan tidak bertukar wad.

Bagaimanapun pihak hospital telah memberi jaminan baki deposit akan dipulangkan semula.

Terkejut juga Bapak mendapat hampir semula deposit yang dibayar kerana caj yang dikenakan antara dua kelas wad itu agak banyak bezanya...

Begitupun Bapak masih rasa bersalah kepada Orang Rumah Bapak. Walaupun beliau tak kisah kerana baginya yang penting anak dan ibu selamat, memang sudah niat Bapak nak beri sedikit keselesaan kepada Orang Rumah Bapak.


Akhirnya dengan baki wang deposit itu Bapak beli telefon bimbit Nokia C3 warna merah jambu untuk dihadiahkan kepada Orang Rumah Bapak sempena kelahiran Ilhan.

Nak beli telefon bimbit yang lebih canggih lagi, baki wang depositnya taklah sebanyak mana...

Dugaan...

Mulanya Ayah yang kurang sihat termasuk kebas-kebas badan pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Namun sehingga lewat petang tak pulang-pulang. Telefon bimbit miliknya yang dihubungi juga tidak berjawab.

Akhirnya seorang jururawat Hospital Assunta menghubungi Mama memberitahu Ayah ditahan wad dan sedang dirawat kerana komplikasi diabetes, jantung dan tekanan darah tinggi.

Berita itu diberitahu Mama kepada Bapak pada malam Sabtu lalu. Nada suara Mama yang tenang semasa menelefon Bapak berubah kepada keresahan dan air matanya tumpah apabila dihubungi Orang Rumah Bapak yang sedang berpantang di Melaka.

Khalish dibawa Atuk dan Neneknya untuk menziarahi Atuk 'Misai'nya yang sedang dirawat di dalam wad pada Ahad lalu.
Bapak pula kena menahan diri bekerja kerana di pejabat kekurangan kakitangan. Petang Isnin sejurus waktu pejabat, Bapak bergegas menuju ke Petaling Jaya dari Ipoh dalam keadaan hujan lebat.

Bapak sampai di perkarangan hospital pada kira-kira 9.30 malam tepat-tepat tamatnya waktu pelawat. Biarpun begitu Bapak masih dibenarkan menziarahi Ayah sebentar sambil membawa pulang Mama dan Mira yang menunggu di bilik rawatan sejak siang.

Lega Bapak apabila doktor memberi jaminan Ayah akan dibenarkan keluar hospital esoknya sekiranya keadaan jantung dan tekanan darahnya mengizinkan.

Semalam Bapak menunaikan beberapa 'tugasan' yang biasanya menjadi rutin Ayah setiap hari seperti menghantar dan mengambil Mira daripada sekolah.

Selepas itu Bapak, Mama dan Mira ke hospital. Ayah cuma dibenarkan keluar hospital pada kira-kira 5 petang.

Doktor pesan memacam, "jangan hisap rokok, jaga pemakanan, jangan terlalu workacholic"

Terkenang rokok Gudang Garam yang Ayah hisap hari-hari...

Apapun tang rokok dan makan tu rasanya boleh kot tapi tang workacholic tu payah sikit...

Tuesday, November 9, 2010

Nama adik Khalish


MUHAMMAD ILHAN AMSYAR. Itulah nama adik Khalish.

Sebenarnya kami hanya mengetahui jantina adik Khalish kira-kira seminggu sebelum kelahirannya. Bukan tak scan, selalu scan tapi setiap kali scan anak kedua kami sentiasa berjaya mengepit paha menyorokkan status jantinanya...hehe..

Sehubungan itu, Bapak dan Orang Rumah Bapak sepakat menyenaraikan tiga nama pilihan masing-masing untuk bayi lelaki dan perempuan.

Antara tiga nama itu, sejak awal-awal lagi kami berkenan dengan satu nama dari setiap kategori bayi lelaki dan perempuan dan apabila yang keluar bayi lelaki, maka Muhammad Ilhan Amsyar lah yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

MUHAMMAD - sempena nama Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w. Awalan nama Bapak dan Khalish pun begitu. Bapak dan Orang Rumah Bapak menetapkan setiap anak lelaki kami perlu ada awalan Muhammad

ILHAN - cerdik, memahami

AMSYAR - yang cergas, bersemangat

Bapak memanggilnya Ilhan. Nama adalah doa, semoga dia mudah dibimbing memahami dan cerdik membezakan antara hak dan bathil. Sentiasa bersemangat memberi sumbangan bermakna terhadap diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Itu harapan kami.

Detik indah itu...

Bapak nak coretkan detik-detik Orang Rumah Bapak melahirkan anak kedua kami untuk kenangan peribadi. Sesungguhnya ia adalah memori indah yang kekal sehingga ke akhir hayat.

Selepas menghantar Orang Rumah Bapak ke dalam wad pada kira-kira 10 pagi 26 Oktober, Bapak pulang ke rumah sebentar untuk membersihkan diri dan menguruskan Khalish.

Selepas itu dua kali Bapak menjenguk Orang Rumah Bapak di wad pada sebelah tengah hari dan petang. Menurut doktor, Orang Rumah Bapak dijangka akan melahirkan pada lewat malam atau awal pagi.

Oleh itu, hanya selepas menidurkan Khalish pada kira-kira 10 malam baru Bapak kembali semula ke hospital. Mula-mula Bapak ke kaunter pendaftaran untuk menguruskan pembayaran deposit yang tertunggak sebelum ini.

Kemudian Bapak menunggu bersama bakal bapa lain di ruang menunggu di Dewan Bersalin. Oleh kerana agak mengantuk, Bapak tidur sebentar di surau berhampiran.

Pada kira-kira 2.30 pagi, Orang Rumah Bapak menghantar SMS yang mengatakan beliau akan dimasukkan ke bilik bersalin pada bila-bila masa kerana bukaan sudah 3 cm.

Bapak terus bangun daripada tidur dan kembali semula di ruang menunggu. Sejam kemudian baru Bapak dipanggil masuk oleh jururawat bertugas.

Sebelum masuk Bapak diminta memakai pakaian berwarna putih ala baju doktor dan membasuh tangan dengan antiseptik.

Apabila sampai di bilik bersalin terbabit, Bapak nampak Orang Rumah Bapak sedang berbaring sambil menahan kesakitan. Sepanjang berada di bilik tersebut, Bapak asyik mengenggam tangan Orang Rumah Bapak dan memintanya bersabar sambil berzikir.

Beberapa kali Bapak diminta keluar sebentar dari bilik bersalin semasa doktor dan bidan memeriksa Orang Rumah Bapak.

Pada kira-kira 6 pagi, Bapak keluar dari bilik bersalin terbabit untuk solat Subuh. Ketika itu bukaan sudah hampir 5 cm.

Di dalam surau, Bapak terlena sebentar di atas sejadah sesudah berdoa. Sedar-sedar sudah 6.30 pagi, Bapak segera ke kaunter jururawat untuk meminta izin memasuki bilik bersalin semula.

Namun tidak dibenarkan kerana jadual Orang Rumah Bapak diperiksa doktor agak hampir dan dicadangkan untuk memasuki semula bilik bersalin selepas pukul 7 pagi.

Bapak kembali di ruang menunggu sambil melihat papan kenyataan elektronik yang memaparkan status bakal ibu yang berada di Dewan Bersalin.

Hampir pukul 7 pagi, seorang bidan bergopoh-gapah memanggil Bapak, katanya Orang Rumah Bapak hampir bersalin.

Sebaik sahaja memakai baju khas dan mencuci tangan, Bapak meluru ke bilik bersalin yang menempatkan Orang Rumah Bapak.

Pada masa itu Orang Rumah Bapak sedang meneran. Bapak diminta oleh bidan dan jururawat untuk memangku kepala dan menahan lengan Orang Rumah Bapak.

Sambil menggigit kuat selimut, Orang Rumah Bapak mengeluarkan seluruh tenaga meneran semahu-mahunya. Ada sedikit percikan air mata di matanya membuatkan Bapak sayu...

Sambil terus memangku kepala dan menahan lengan Orang Rumah Bapak, jantung Bapak berdegup deras pada masa itu dan terdiam seribu bahasa melihat sendiri proses kelahiran.

Panik sebentar Bapak apabila melihat sebahagian kepala bayi sudah mula keluar dan diminta oleh bidan untuk memimpin tangan Orang Rumah Bapak agar dapat memegang sedikit rambut bayi. Ia bertujuan untuk menguatkan lagi semangat Orang Rumah Bapak untuk melalui proses itu.

Akhirnya pada 7.11 pagi, proses kelahiran selesai. Alhamdulillah kelahiran kali ini berlaku secara normal.
Sejurus diangkat bidan, terpaku Bapak melihat rambut dan raut mukanya tak ubah Khalish masa dilahirkan. Anak lelaki itu kemudiannya diletakkan di dada Orang Rumah Bapak. Dia mula menangis namun tangisannya tidak sekuat dan senyaring Khalish dulu..

Salah seorang jururawat meminta Bapak mengazankan bayi kami, Bapak yang blur sebentar terus mengikut permintaan itu...

Kemudian Bapak diminta keluar dari bilik bersalin dan menunggu semula di ruang menunggu sehingga dipanggil. Di papan kenyataan elektronik sudah tertera status Orang Rumah Bapak sudah bersalin.

Bapak terus menghubungi Mak Mertua, Mama dan adik ipar, Azam untuk memberitahu berita gembira itu.
Kira-kira 8.30 pagi, Bapak dipanggil seorang jururawat Cina untuk mengazan anak kedua. Bapak terus mengambil wuduk sebelum mengikut jururawat tersebut.

Pengalaman bersama Khalish menyebabkan Bapak kurang kekok memegang bayi baru dan setelah berada menghadap kiblat, azan dilaungkan ke telinganya. Mata berkelip-kelip seolah memandang sesuatu, saling tak ubah seperti Khalish dulu...

Pada pukul 10.30 pagi baru Orang Rumah Bapak dan bayi dibenarkan keluar dari bilik bersalin dan Bapak menemani mereka hingga ke wad.

Monday, November 8, 2010

Alkisah menanam uri

Dalam empat adik-beradik, Bapak dan adik kedua, Wan adalah individu kidal sementara adik ketiga dan keempat menggunakan tangan kanan. Malah generasi pertama dan kedua keluarga kami tiada yang kidal.

Ada kepercayaan mengatakan Bapak dan Wan menjadi individu kidal kerana semasa uri kami hendak ditanam, tangan kiri digunakan untuk memasukkan uri tersebut ke dalam tanah.

Antara yang kuat mempercayainya ialah Mama dan Opah. (walaupun dakwaan tak semestinya benar kerana mereka berdua tidak melihat proses menanam uri Bapak dan Wan)

Ayah pula yang merupakan individu bertanggungjawab menanam kedua-dua uri itu sehingga hari ini tidak pernah mengiya atau menidakkan dakwaan tersebut yang diketahui asal-usulnya..

Apapun Bapak masih ingat semasa adik ketiga, Siddiq dan adik bongsu, Amira lahir Mama dan Opah kerap mengingatkan agar uri kedua-dua adik terbabit ditanam dengan tangan kanan.

Berbalik kepada Bapak, sebelum kelahiran anak kedua, Bapak tak punyai pengalaman langsung menguruskan uri.
Semasa Khalish lahir di Melaka kira-kira setahun setengah lalu, proses membasuh dan menanam uri diuruskan ayah mertua Bapak.

Sepatutnya Nenek (nenek Orang Rumah Bapak) yang menguruskan uri berkenaan tetapi oleh kerana Bapak pulang dari hospital agak lewat malam (Khalish dilahirkan lewat petang), uri itu disimpan sementara di dalam peti sejuk sementara menunggu untuk diuruskan selepas Subuh.

Namun pada kira-kira 6.30 pagi, Bapak yang keluar dari bilik sejurus solat Subuh mendapati uri Khalish telah siap ditanam ayah mertua Bapak.

"Dah siap, Ayah dah tanam dekat pokok bunga kertas depan rumah lepas Subuh tadi," kata ayah mertua Bapak selamba.

Tak pasti pula ayah mertua Bapak tanam uri tu dengan tangan kanan ke kiri...(tak tergamak juga nak tanya..heheh).

Namun setelah Khalish berumur setahun nampak kecenderungannya lebih kepada tangan kanan.

Apabila anak kedua Bapak dilahirkan di Ipoh, mahu tak mahu Bapak uruskan sendiri uri dia.

Akibat asyik tertangguh (anak kedua Bapak lahir lima hari daripada tarikh jangkaan), pada hari dia dilahirkan baru Bapak terhengeh-hengeh mencari bahan-bahan untuk membersih dan menanam uri.

Garam kasar, asam keping, limau nipis sudah ada namun untuk membeli kain putih Bapak ke Riamoda, Greentown. Mahu tak mahu kena beli semeter kain putih setelah permintaan untuk membeli kurang daripada kuantiti itu tidak dapat dipenuhi...
Lubang dikorek di depan rumah betul-betul bersebelahan susur keluar ke Lebuh raya Utara-Selatan.

Bapak pernah dengar ada yang menanam uri dalam belanga tanah, ada yang menanam bersama-sama pensel dan buku, malah diletakkan pelita di atas 'kuburan' uri tersebut selama tujuh malam...

Namun Bapak tak buat semua tu, tak perlu kot...heheh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails